comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dipercayai sogok polis RM100, buruh warga bangladesh direman SPRM

Foto: Seorang buruh warga Bangladesh direman selepas dipercayai cuba menyogok anggota polis.

PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya menahan seorang buruh warga Bangladesh yang dipercayai cuba ‘menyuap’ RM100 kepada anggota polis sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu kereta tanpa lesen.

Menurut sumber, kejadian tersebut berlaku ketika suspek sedang memandu sebelum ditahan polis untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun suspek dikatakan telah menyogok anggota tersebut dengan wang tunai RM100.

Katanya, anggota polis tersebut kemudian telah menyerahkan suspek ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya kira-kira jam 2 petang dan ditahan bagi membantu siasatan.

Susulan itu, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 31 Januari selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Katanya, kes seumpama ini merupakan iktibar kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya memberi rasuah kepada mana-mana pihak penguat kuasa bagi tujuan melepaskan diri dari melakukan kesalahan jenayah.

Loading...
Terkini