KUANTAN: Seorang warga emas kerugian RM184,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan semalam, lelaki itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang memaklumkan bahawa nombor akaun milik mangsa disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram pada 8 September lalu.
Katanya, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka satu akaun bank baharu dan memindahkan semua wang kepada akaun berkenaan dengan alasan untuk semakan Bank Negara.
“Mangsa berusia 75 tahun memindahkan wang berjumlah RM184,000 dan maklumat perbankan turut diberikan kepada suspek. Mangsa dijanjikan akan dihubungi selepas semakan selesai dibuat.
“Selepas gagal menghubungi pihak berkenaan, mangsa baharu tersedar ditipu. Siasatan mendapati sumber kewangan adalah daripada simpanan mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah
panik dan jangan mudah percaya dengan apa juga dakwaan yang diterima melalui panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.