PUTRAJAYA: Tiga lelaki warga China disyaki terbabit dalam kes seluk saku di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA), ditahan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dengan bantuan anggota keselamatan penerbangan (AVSEC) di ruang legar Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA T1.
“Ketiga-tiga suspek telah direman empat hari sejak 26 Oktober lepas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Azman berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Jepun pada 22 Oktober lepas, mendakwa menjadi mangsa kejadian itu selepas menyedari zip bag sandangnya terbuka dan mendapati dompet dalam bag berkenaan hilang.
Katanya, pengadu menyedari kejadian itu ketika ingin membuat pembayaran di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor pada 21 Oktober.
“Pengadu juga telah menerima pemberitahuan melalui telefon bimbitnya bahawa terdapat tiga transaksi (menggunakan kad banknya) telah dibuat di suatu lokasi yang beliau tidak pasti.
“Pengadu bertindak menyekat semua kad bank miliknya apabila mendapati penggunaan kad banknya mencecah RM7,622,” katanya.
Azman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan akan dirujuk ke Mahkamah Majistret Sepang untuk pertuduhan esok. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.