comscore
Tumpuan :
Jenayah

Doktor ditipu ‘love scam’

Foto hiasan

PETALING JAYA: Seorang doktor wanita kerugian RM94,001 selepas terperdaya dengan seorang lelaki dipercayai sindiket ‘love scam’ yang dikenali menerusi facebook.

Pegawai perubatan berusia 31 tahun itu mula mengenali lelaki terbabit sejak Januari lalu yang mendakwa bekerja di luar negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perkenalan tersebut berterusan menerusi aplikasi whatsapp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

“Sepanjang tempoh perkenalan, mangsa mengesahkan tidak pernah berjumpa dengan individu terbabit. Selepas dua minggu berkenalan suspek meminta mangsa untuk melakukan transaksi atas talian bagi urusan pembelian barang di laman sesawang.

“Ketika berada di rumah mangsa memasukkan maklumat yang diberikan oleh suspek iaitu data pengenalan dan kata laluan.

“Mangsa yang menggunakan akaun peribadi melakukan beberapa transaksi pembelian barang berjumlah USD18,640 (RM79,369) dan USD33,990 (RM144,729) namun akaun mangsa dibekukan tanpa sebab,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun diaktifkan semula.

“Mangsa mengikut arahan yang diberikan oleh laman sesawang dan melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke satu akaun tempatan berjumlah RM23,701

“Mangsa diberitahu jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambah lagi, mangsa kemudian diarahkan untuk menggunakan aplikasi Huabi bagi tujuan penukaran matawang asing

“Wanita terbabit masih mempercayai arahan berkenaan dan melakukan empat transaksi, namun mangsa kemudian diminta untuk melakukan trasaksi kepada rakan suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa mula sedar ditipu dan tidak melakukan transaksi kepada rakan suspek seperti diminta suspek.

Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkenalan di dalam talian.

Loading...
Terkini