comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua beradik ditahan proses heroin di Kampar

Sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, IPK Perak, di Ipoh.

IPOH: Polis Perak berjaya menumpaskan makmal memproses dadah jenis heroin yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu di sebuah rumah di Kampar, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan itu, dua beradik ditahan dan heroin seberat 40 kilogram bernilai lebih RM602,000 dirampas.

Ujarnya, serbuan dilakukan kira-kira jam 4 petang, oleh sepasukan pegawai serta anggota Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Dua lelaki yang ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti memproses dan dan mengedar dadah jenis heroin.

“Sindiket ini dipercayai mula bergiat aktif sejak Disember 2022, dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri Perak. Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 85,000 penagih dadah.” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan itu, kafein seberat 11 kilogram dan cecair disyaki dadah seberat 4 kilogram.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM665,782.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah morfin. Manakala semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama 7 hari sehingga 16 Januari depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Kita masih jalankan siasatan kerana kita percaya bukan hanya mereka berdua sahaja terlibat, ada lagi rakan-rakan sejenayah yg masih bebas, kita akan menjalankan siasatan dan tangkapan”.

Loading...
Terkini