comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua bot langgar syarat sah lesen ditahan 

FOTO: APMM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Dua bot tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau selepas gagal mematuhi syarat sah lesen dalam dua tangkapan berasingan, semalam.

Kedua-dua bot itu ditahan oleh bot ronda APMM Zon Maritim Tawau yang sedang menjalankan Ops Pluto Timur 2/2023 dan Ops Tiris.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika operasi itu, pihaknya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Inderasabah pada jam 12.15 tengah hari.

Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 6.8 batu nautika selatan Inderasabah itu mendapati dua lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 41 dan 24 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot berkenaan.

FOTO: APMM Sabah

“Pemeriksaan dokumentasi bot itu mendapati nama nakhoda bot tiada dalam pendaftaran dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

“Kira-kira 15 minit selepas itu, sebuah lagi bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda APMM yang menjalankan operasi sama,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas sebuah bot kargo yang sarat membawa muatan buah sawit itu mendapati seorang nakhoda lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun, juga gagal memaklumkan pertukaran nakhoda bot berkenaan.

FOTO: APMM Sabah

“Kedua-dua bot bersama muatan serta semua kru terbabit seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk disiasat lanjut.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

“Semua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM160,000″ katanya.

Sementara itu, Shahrizan turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

FOTO: APMM Sabah

Pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini