SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 329.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai hampir RM11 juta susulan tangkapan ke atas dua lelaki di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata kedua-dua suspek yang ditahan, masing-masing berusia 34 dan 30 tahun dipercayai berperanan sebagai ‘runner’ dengan mengambil dan menghantar bekalan dadah.
Menurut beliau, polis terlebih dahulu menahan suspek pertama yang berusia 34 tahun ketika dia sedang memandu di Bandar Baru Sri Petaling, kira-kira jam 10.50 malam hari terbabit.
“Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari JSJN Bukit Aman dan susulan tangkapan itu, dengan dipandu arah oleh suspek, polis dibawa ke sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Bukit Puchong, Subang Jaya.
“Hasil pemeriksaan ke atas kediaman itu, polis menemui 319 bungkusan mengandungi dadah jenis syabu disimpan dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.
Kok Chin berkata susulan tangkapan pertama itu, polis berjaya menahan suspek kedua iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ketika dia sedang memandu di Jalan Puchong Jaya, di sini pada jam 11.30 malam.
“Lokasi tangkapan suspek kedua ini terletak kira-kira satu kilometer daripada lokasi suspek pertama ditahan. Kita percaya kedua-dua suspek ini berperanan sebagai ‘runner’ untuk satu sindiket dadah.
“Hasil soal siasat mendapati, suspek pertama menerima upah RM5,000 sebulan, manakala suspek kedua yang lebih berpengalaman dalam operasi pengedaran dadah menerima upah antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan,” katanya.
Mengenai modus operandi, Kok Chin berkata sindiket ini didapati menyewa rumah teres terbabit sejak awal September lalu untuk dijadikan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai sejak awal tahun ini dan kita masih menyiasat rangkaian sindiket dadah yang masih bebas serta punca dari mana bekalan dadah diperolehi,” katanya.
Beliau berkata, selain rampasan dadah, polis turut merampas alat penimbang di rumah terbabit serta menyita dua kereta dipandu dua suspek iaitu sebuah Proton Saga dan Hyundai Sonata serta barang kemas dengan jumlah sitaan dianggarkan RM70,270.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 329.5kg yang dianggarkan bernilai RM10.9 juta dan dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.65 juta penagih dadah sekiranya dipasarkan,” katanya.
Kok Chin berkata semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah, manakala rakannya mempunyai satu rekod jenayah. Ujian saringan air kencing pula menunjukkan kedua-duanya negatif dadah.
“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga 1 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan dadah dengan menghubungi talian Hotline JSJN di 012-208 7222.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.