comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua kapal pindah 400,000 liter diesel tanpa kebenaran ditahan

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan dua buah kapal yang disyaki melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata berdasarkan maklumat risikan, kedua-dua kapal ditahan pada kedudukan lebih kurang 0.7 batu nautika Barat Daya Kapar pada jam 12.15 tengah malam semalam.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan semasa pemeriksaan dijalankan, sebuah kapal berdaftar di negara ini yang membawa enam kru warga Indonesia sedang memindahkan lebih kurang 400,000 liter diesel ke sebuah lagi kapal.

Kapal kedua itu yang juga berdaftar di negara ini membawa sembilan kru warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan dua kru warga tempatan berusia antara 20 hingga 35 tahun.

Antara kesalahan dikesan ialah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal.

Dua kru dari setiap kapal ditahan dan dibawa ke pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

Kea disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 ribu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini