comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dua lelaki aktif samun bersenjata dicekup

 

GEORGE TOWN: Dua lelaki aktif melakukan samun bersenjata api di Pulau Pinang berjaya dicekup polis pada malam ambang tahun baru, sekaligus menyelesaikan enam kes samun membabitkan suspek berkenaan.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dua suspek lelaki berusia 26 dan 30 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Berjaya dan Taman Desa Damai Bukit Mertajam.

“Penahanan itu dibuat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang susulan kejadian samun kedai serbaneka di Jalan Betik, Bukit Mertajam pada 9 Disember lalu”.

“Susulan itu, sebuah pasukan siasatan khas ditubuhkan dan hasil risikan mengenal pasti identiti dua suspek terbabit.

“Suspek dipercayai merancang melakukan samun pada malam ambang tahun baru, namun berjaya ditahan hasil tindakan pantas pasukan polis,” katanya.

Tambahnya lagi, polis merampas sepucuk revolver serta tiga butir peluru ketika menahan salah seorang suspek terbabit.

Sebuah motosikal dipercayai digunakan suspek ketika melakukan samun turut disita.

Hasil siasatan mendapati suspek mula aktif melakukan samun bersenjata api pada bulan Disember lalu dan melakukan enam samun dalam tempoh satu bulan.

Mereka menyasarkan kedai serbaneka yang beroperasi lewat malam dengan melarikan wang tunai hasil jualan dan telefon bimbit pekerja.

Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes samun dan dadah.

Kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 6 Januari.

Loading...
Terkini