comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua lelaki ditahan dipercayai seleweng RM43,000 diesel

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh kerana dipercayai menyeleweng diesel bersubsidi bernilai RM43,000 di sebuah premis di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, 12 tengah hari semalam.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata kedua-dua suspek ditahan menerusi satu operasi berikutan hasil risikan yang dilakukan selama sebulan oleh pihaknya dan turut mengambil kira maklumat orang awam.

Ketika serbuan, terdapat seorang warga Bangladesh berusia 45 tahun di premis berkenaan dipercayai sebagai penjaga bangunan itu.

“Tidak berapa lama, muncul seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun disyaki pemilik premis dan kedua-dua individu itu telah ditahan untuk pemeriksaan awal serta rakaman percakapan bagi keperluan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zuhairi berkata, pihaknya menyita bahan api bersubsidi diesel anggaran 20,000 liter yang bernilai kira-kira RM43,000.

“Tindakan sitaan dua lori tangki yang dijumpai (di premis itu) turut dilakukan bersama peralatan lain seperti empat unit penyedut minyak bermeter berserta hos. Jumlah anggaran nilai sitaan secara keseluruhan adalah mencecah RM711,000.

Pihaknya mempercayai suspek melakukan aktiviti pengisian bahan api secara berulang kali di stesen minyak di sekitar kawasan tidak jauh daripada lokasi serbuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana berurusan barang kawalan berjadual tanpa lesen.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini