comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dua lelaki ditahan lontar mercun ke arah polis

 

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan kerana disyaki melontar mercun ke arah anggota polis dan menghalang tugas penjawat awam di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata tindakan sekumpulan lelaki yang bermain mercun itu turut mengakibatkan penduduk marah dan takut akibat bunyi dentuman mercun yang berterusan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai perbuatan sekumpulan lelaki bermain mercun di kawasan perumahan Lembah Subang, Kelana Jaya pada jam 4.35 pagi semalam.

Bertindak atas maklumat, dua buah kereta peronda polis dengan dibantu anggota task force Balai Polis Kelana Jaya dikerah ke lokasi.

Sebaik tiba, anggota polis mendapati lebih kurang 50 orang penduduk perumahan itu sedang berkumpul kerana berang dengan tindakan sekumpulan lelaki bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Anggota dan kenderaan polis turut dilontar mercun oleh suspek.

Dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an kemudian ditahan.

Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod bagi kesalahan jenayah dan dadah.

Manakala seorang lagi, mempunyai empat rekod jenayah, iaitu tiga kes jenayah dan dan satu kes dadah.

Kedua-dua suspek direman dua hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini