comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dua lelaki warga asing langgar anggota polis dan sekatan jalan raya ditahan 

 

PETALING JAYA: Dua lelaki warga asing berjaya ditahan polis selepas melanggar sekatan jalan raya di Petaling Jaya, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Assisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid, kejadian berlaku kira-kira jam 9.06 malam di susur keluar Damansara Jaya ke Lebuhraya SPRINT.

Kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi itu secara tiba-tiba memecut kenderaan sebelum melanggar sekatan yang dijalankan.

Akibat pelanggaran, seorang anggota polis yang bertugas mengalami kecederaan di tangan.

“Sebuah kereta MPV telah mengejar kenderaan suspek sejauh 2 kilometer sehingga kenderaan yang dipandu oleh suspek terbabas  di Seksyen 17/50 Petaling Jaya.

“Hasil semakan ke atas kenderaan tersebut mendapati suspek, dua lelaki warga asing berumur lingkungan 35 dan 45 tahun telah berjaya ditangkap oleh anggota polis yang bertugas di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Siasatan lanjut ke atas suspek, polis berjaya merampas wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM9,000 dan beberapa peralatan pecah rumah antaranya gerudi tangan, tukul, gunting dan pemutar skru.

Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati negatif dadah, serta tiada rekod jenayah lampau.

Suspek kini direman bermula hari ini sehingga 8 Januari depan untuk disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (i) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki alatan pecah rumah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah atau orang yang mencurigakan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Loading...
Terkini