comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dua penjenayah ditembak mati, miliki 25 rekod jenayah lampau

 


Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Dua penjenayah yang mati ditembak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Butterworth, Pulau Pinang awal pagi tadi mempunyai 25 rekod kesalahan lampau.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata kedua-dua suspek juga dipercayai dalam perjalanan melakukan jenayah ketika diberhentikan polis untuk pemeriksaan dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi tadi.

Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang sedang menjalankan tugas telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di Jalan Pokok Sena – Jalan Permatang baru dekat Sungai Dua dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan polis menghampiri kenderaan tersebut dan mengarahkan kenderaan berhenti untuk diperiksa, namun pemandu bertindak memecut melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Ekoran daripada itu pasukan polis mengejar sehingga 2 kilometer menyebabkan kenderaan yang dinaiki suspek terbabas.

“Ketika turun untuk membuat pemeriksaan, suspek sekali lagi melepaskan beberapa das tembakan dan bagi tujuan mempertahankan diri, pasukan polis telah membalas balik tembakan.

“Selepas keadaan reda, telah menjalankan pemeriksaan dapati pemandu dan penumpang hadapan telah ditumpaskan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, petang tadi.

Katanya, dua suspek yang ditumpaskan adalah lelaki warga tempatan masing-masing berusia 41 tahun dan 51 tahun.

Pemeriksaan lanjut telah menjumpai dua pucuk pistol dan 176 peluru pada suspek dan dalam kenderaan.

Suspek masing-masing mempunyai 12 dan 13 rekod kesalahan lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini