comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua pusat hiburan diserbu, 14 perisian muzik cetak rompak dirampas

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Tindakan dua pusat hiburan di sini, yang menggunakan hak cipta karya berdaftar tanpa kebenaran bagi tujuan komersial membawa padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S.Jegan berkata pihaknya merampas 14 perisian muzik cetak rompak bernilai antara RM2000 hingga RM20,000 setiap lagu.

Katanya, dua premis berkenaan di Jalan Sri Bahari dan Jalan Kek Chuan yang menyediakan perkhidmatan makanan, minuman alkohol dan karaoke diserbu pada jam 6 petang semalam.

Tindakan diambil dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) susulan risikan selama tiga bulan.

Katanya, tindakan terhadap pemilik premis diambil susulan RIM telah memberi advokasi serta amaran berulang kali, namun tidak diendahkan.

“Hasil siasatan mendapati bahawa mesin karaoke di premis berkenaan mengandungi perisian muzik yang disyaki merupakan salinan langgaran hak cipta.

“Dalam dua serbuan itu, sebanyak 14 perisian muzik cetak rompak dirampas yang mana nilainya antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap lagu,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Kata beliau, pihaknya turut merampas peralatan lain seperti televisyen, pembesar suara serta mesin karaoke bernilai RM35,000.

“Objektif utama operasi ini adalah untuk mendidik pemilik perniagaan tentang kepentingan mematuhi undang-undang hak cipta demi melindungi industri muzik.

“KPDN mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta untuk tujuan perniagaan agar mendapatkan kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” tambahnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987 dan jika didapati bersalah, pemilik premis boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini