Oleh: Ing Boon Seng
KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan rakyat Malaysia disyaki ketua sindiket pengubahan wang haram yang ditahan di Thailand turut disiasat terlibat dalam penipuan pelaburan Nicshare dan Commonapps di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam penipuan mengakibatkan kerugian lebih RM8.5 juta.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 24 laporan polis berkaitan pelaburan Nishare melibatkan kerugian RM8.21 juta.
Manakala dua laporan polis diterima berkaitan skim pelaburan Commonapps dengan kerugian mencecah RM340,079.
Siasatan katanya dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Siasatan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil daripada Aktiviti Haram ( AMLATFPUAA 2001) juga sedang dijalankan terhadap kedua-dua skim pelaburan tersebut.
Sehingga kini, beberapa subjek dan entiti berkaitan telah dituduh di mahkamah.
Ini termasuk perkaitan antara suspek yang ditahan pihak berkuasa Thailand dengan skim penipuan pelaburan Nicshare dan Commonapps di negara ini juga sedang disiasat.
Semalam Buletin TV3 melaporkan pihak berkuasa Thailand menahan sepasang suami isteri yang disyaki mendalangi kegiatan pengubahan wang haram lebih RM652.8 juta melalui rangkaian transaksi palsu.
Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di wilayah Songkla ketika memasuki Thailand pada 16 Disember lalu.
Manakala isterinya yang juga warga Thailand turut terlibat skim sama ditahan di lokasi berbeza Rabu lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.