comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua suspek kes buang sisa bahan kimia di sungai Johor Bahru diberkas

JOHOR BAHRU: Polis memberkas seorang pemandu dan kelindan lori warga tempatan dipercayai terbabit kes pencemaran dan pembuangan bahan kimia, yang menjadi punca pencemaran kualiti udara sekitar Johor Bahru sejak minggu lalu.

Kedua-dua lelaki terbabit yang berumur 23 dan 28 tahun ditahan di sebuah pangsapuri sekitar Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua polis daerah Johor Bahru selatan, ACP Raub Selamat berkata, semakan rekod mendapati dua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas dari pengaruh dadah.

“Kedua-dua suspek telah direman di bawah seksyen 117 kanun prosedur jenayah selama tujuh hari bermula hari ini hingga 16 September ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah seksyen 430 kanun keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksima tiga puluh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak minggu lalu beberapa kawasan termasuk kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, taman Damansara Aliff, Taman Johor, Taman Perling, Taman Tampoi Utama, Taman Impian Emas Skudai, Kampung Maju Jaya dan Desa Idaman yang semuanya terletak dipinggir sungai Skudai dan anak sungai Tebrau disahkan dicemari bau hingga menyebabkan penduduk loya dan muntah-muntah disyaki pembuangan sisa kimia Amonia.

Pagi tadi tiga buah sekolah di Kampung Maju Jaya diarah tutup dan melaksanakan sesi pembelajaran secara atas talian (PdPR) susulan pencemaran terbabit yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan pelajar dan guru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini