comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua wanita rugi lebih RM380,000 ditipu Macau Scam

Foto Hiasan

KUANTAN: Dua wanita kerugian lebih RM380,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam dalam dua kejadian berasingan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang menerima dua kes penipuan yang berlaku di Maran dan Temerloh.

“Dalam kes pertama, mangsa yang juga Penolong Pegawai Pertanian berusia 45 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai insuran dan mengatakan mangsa ada membuat tiga tuntutan palsu, pada November tahun lalu.

“Mangsa telah diminta membuat laporan polis dan talian disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, mangsa dikatakan terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan kesalahan rasuah.

“Mangsa diminta membayar dana ikat jamin sebanyak RM400,000 untuk menyelesaikan kes.

“Dengan perasaan takut, mangsa dedahkan kesemua maklumat akaun perbankan sebelum mendapati wang simpanan sebanyak RM215,100 hilang.

“Selepas membuat pemeriksaan dengan pihak bank mendapati wang simpanannya itu telah dipindahkan ke akaun bank lain melalui 33 transaksi,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian lain, mangsa berusia 37 tahun dari Temerloh menerima panggilan telefon yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier pada 13 Januari lalu.

“Suspek mengatakan mangsa menerima barangan terlarang seperti kad sim, kad ATM (Mesin Pengeluaran Automatik), buku cek token bank dan pendrive yang dihantar kepada penerima Tan Boon Hua.

“Suspek kemudian menyambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dikatakan bahawa maklumat peribadi pengadu diguna oleh individu lain untuk membuka akaun bank.

“Kononnya individu berkenaan memberitahu kepada pihak polis bahawa mangsa memberi kebenaran menggunakan akaun bank miliknya untuk pengubahan wang haram,” katanya.

Suspek kemudiannya memberikan satu pautan kepada mangsa untuk mengisi maklumat perbankan selain diminta memindahkan semua wang daripada simpanan Tabung Haji ke akaun bank yang dibuka atas arahan suspek.

“Pada Selasa lalu, mangsa mendapati wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM165,090 dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan kali transaksi telah dibuat melalui akaun berkenaan,” katanya.

Jelasnya, pihak polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Pihak polis agak terkilan kerana sungguh pun kempen kesedaran diadakan secara berterusan, masih ada yang menjadi mangsa dengan kerugian sehingga ratusan ribu ringgit,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini