comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua warga China ditahan, sindiket kad prabayar tidak sah tumpas

Polis melakukan serbuan di dua premis yang disyaki menjalankan penipuan pendaftaran kad prabayar di Seremban, 3 Januari lalu. FOTO: Ihsan Polis

SEREMBAN: Dua lelaki warga China dalam dua serbuan yang berjaya menumpaskan satu sindiket kad prabayar tidak sah yang  dikesan beroperasi di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menahan dua lelaki warga China dalam dua serbuan di daerah ini, Rabu lalu.

“Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjalankan kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar yang beroperasi di Seremban, 3 Januari lalu.

“Melalui serbuan yang dijalankan di dua lokasi di daerah ini, kami berjaya menahan dua suspek warga China serta merampas pelbagai peralatan yang digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar beliau,  antara barang yang dirampas adalah 30 komputer riba, 17 telefon bimbit, 104 ‘sim box’, 30 pemacu USB, 7,315 kad prabayar, empat modem internet dan tiga unit ‘network switch’.

“Siasatan mendapati sindiket ini terbabit dalam kegiatan penipuan pendaftaran kad prabayar secara tidak sah yang menyasarkan pelanggan di Hong Kong.

“Kumpulan ini juga disyaki berperanan sebagai pembekal kad prabayar secara atas talian kepada ahli sindiket lain untuk digunakan bagi tujuan penipuan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Loading...
Terkini