comscore
Tumpuan :
Jenayah

Edar ketum: 4 anggota polis digantung kerja

KUALA LUMPUR: Empat daripada enam anggota polis yang ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar ketum sudah digantung tugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan lanjut berhubung kegiatan anggota itu sedang dijalankan.

“Kita (polis) sudah tahan kerja empat anggota yang ditangkap manakala individu lain yang ditahan pula (diambil keterangan) untuk siasatan.

“Buat masa ini, polis masih menunggu keputusan patologi,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, tujuh individu termasuk enam anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan memproses dan mengedar air ketum.

Dalam serbuan jam 2.15 pagi 4 Januari lalu, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 38 tahun yang juga anggota polis di sebuah rumah di Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dilaporkan berkata, polis merampas daun ketum anggaran berat 18 kilogram dan air ketum anggaran berat 13.5 liter bernilai RM420.

Beliau dilaporkan berkata, turut dirampas pelbagai peralatan memproses ketum, pakaian seragam polis serta wang tunai RM1,200.

Susulan penahanan itu, katanya, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kemudian menahan dua lagi anggota polis dan seorang lelaki awam yang disyaki terbabit kegiatan sama.

Loading...
Terkini