Tumpuan :
Jenayah

Ejen seludup 16 PATI gagal rasuah anggota PGA supaya dilepaskan

Antara Pati yang ditahan PGA menerusi Op Taring Wawasan di Jalan Sri Cemerlang dan tepi jalan besar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kelmarin. FOTO: Ihsan PGA

KOTA BHARU: Cubaan empat lelaki untuk menyeludup 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini gagal apabila mereka ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, kelmarin.

Menerusi Op Taring Wawasan, selain 16 individu terbabit, PGA turut menahan tiga tekong dan seorang ejen warga tempatan di Jalan Sri Cemerlang dan tepi jalan besar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini.

Pada operasi itu, ejen terbabit turut cuba memberi rasuah RM50,000 dengan harapan akan dilepaskan, namun ia digagalkan.

Komander PGA Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, terdahulu, pihaknya memeriksa tiga kenderaan di dua lokasi terbabit.

“Pemeriksaan mendapati, kenderaan terbabit digunakan untuk menyeludup masuk migran.

“Migran ditahan membabitkan warga Myanmar. Tiga lagi adalah tekong berusia 27 hingga 32 tahun serta seorang ejen berumur 24 tahun.

“Antara barangan dirampas ialah tiga kenderaan, lapan telefon bimbit dan wang RM50,000,” katanya pada kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini