comscore
Tumpuan :
Jenayah

Empat anggota polis lakukan peras ugut ditahan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid. -Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis ditahan selepas disyaki terbabit pemerasan di hadapan sebuah pangsapuri di Kepong di sini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata polis menerima laporan kejadian pada 2.55 petang, 4 Januari lalu.

“Hasil siasatan, polis menahan empat anggota lelaki berusia 28 hingga 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes dilaporkan. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Allaudeen berkata pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, JIPS Kuala Lumpur turut menjalankan siasatan berhubung keengganan anggota menerima laporan daripada orang awam. Beliau berkata polis memandang serius perbuatan terbabit dan akan mengambil tindakan tegas kepada anggota yang didapati berbuat demikian.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan dan pihaknya tidak melindungi individu termasuk pegawai yang melakukan kesalahan.

Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul

Beliau meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau boleh menimbulkan kegusaran awam.

Semalam dilaporkan Danny Goh ditahan oleh empat anggota polis di Kepong pada 23 Disember lalu.

Menurut Goh, polis terbabit memeriksa MyKad beliau dan mendesak untuk melihat telefon bimbitnya atas dakwaan kononnya dia terlibat aktiviti haram. Dan biarpun Goh menafikan dakwaan itu, anggota polis terbabit kemudian mengancam untuk meletakkannya di dalam penjara dan membawanya ke mahkamah.

Mereka pada masa sama turut menuntut RM10,000 sebagai pampasan bagi menyelesaikan masalah itu.

Selepas memindahkan RM1,000, Goh kemudian menyerahkan baki RM9,000 lagi kepada salah seorang anggota polis terbabit.

Kecewa dengan insiden itu, Goh kemudian meminta bantuan daripada pembantu khas kepada Ahli Parlimen Kepong, Dic Lai yang kemudian memintanya membuat laporan polis.

Sementara itu, Dic Lai turut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah IPD Sentul bagi mengesahkan identiti empat anggota polis terbabit. Dic Lai mendakwa sebaik anggota polis terbabit menyedari tindakannya itu, mereka telah menghubungi Goh bagi menyelesaikan kes itu.

Dic Lai turut mendakwa bahawa anggota polis terbabit telah pergi ke rumah Goh untuk menyerahkan wang itu walaupun Goh enggan menerima penyelesaian yang dicadangkan mereka.

Dic Lai mendakwa IPD Sentul dan Dang Wangi enggan menerima laporan polis yang dibuat Goh kerana rakan sekerja mereka telah membayar kembali sebanyak RM10,000 kepada Goh.

Katanya, Goh hanya berjaya membuat laporan polis itu dalam percubaan kali ketiga pada Khamis lalu.

Beliau turut memberitahu bahawa kes sedang disiasat Bukit Aman dan IPD Sentul.

Tambahnya, Goh turut diminta ke IPD Sentul semalam bagi mengenal pasti anggota polis terlibat walaupun dia kemudian hanya mampu mengecam tiga orang daripada mereka.

Loading...
Terkini