comscore
Tumpuan :
Jenayah

Empat ditahan selepas cubaan lintas sempadan gagal

Tiga lelaki serta seorang warga tempatan ditahan ketika cuba memasuki Thailand secara tidak sah. – Foto: Ihsan ATM

ALOR SETAR: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan seorang lelaki tempatan yang ingin menghantar tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke Thailand di sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini berkata, mereka ditahan oleh pasukan bertugas ketika melintasi sempadan menggunakan laluan tidak sah di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Kira-kira jam 1 tengah hari, pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan sebuah Perodua Alza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan Malaysia-Thailand.

“Pasukan operasi seterusnya bertindak menahan kenderaan itu dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki warga Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan cuba memasuki Thailand.

“Manakala pemandu kenderaan adalah adalah warga tempatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pasukan merampas Perodua Alza berkenaan, tiga telefon bimbit dan wang tunai mata wang Malaysia dan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM72,987.85.

Pati dan warga tempatan berusia antara 20 hingga 47 tahun kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini