comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gadis 18 tahun ‘bookie’ Piala Dunia dicekup

Foto hiasan

KUCHING: Seorang gadis berusia18 tahun antara dua ‘bookie’ pertaruhan keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 dan ejen nombor loteri haram yang ditahan polis dalam serbuan di Matang Jaya, di sini, petang semalam.

Gadis berkenaan ditahan dalam serbuan pertama oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di sebuah kedai makan, kira-kira jam 3.45 petang.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata suspek disyaki menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen nombor loteri tanpa lesen.

“Polis turut merampas dua unit telefon, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang tunai berjumlah RM420,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek mengaku bekerja sebagai ejen judi pertaruhan atau ‘bookie’ serta ejen menjual nombor loteri tanpa lesen.

“Dalam serbuan kedua di sebuah gerai buah-buahan jam 4.45 petang, polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun.

Suspek turut dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak dan ejen jual nombor loteri tanpa lesen.

“Polis merampas dua telefon bimbit dan wang tunai RM540,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Loading...
Terkini