comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gagal Cuba Seludup Minyak Masak Melalui Pengkalan Kubor

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang lelaki sanggup memandu Proton Iswara Aeroback dari Jerteh, Terengganu dengan membawa 595 kilogram (kg) minyak masak paket 1kg bersubsidi semata-mata untuk diseludup di pangkalan haram di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Bagaimanapun, usaha lelaki berusia 36 tahun itu gagal apabila ditahan pihak berkuasa di Kedai Mulong di sini, jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan Aswadi Jaafar berkata, suspek ditahan pada Operasi Membanteras Ketirisan Barang Kawalan hasil risikan dijalankan.

“Terdahulu, kami mengekori kereta terbabit yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Nilam Puri menghala ke Kedai Mulong.

“Sebaik ditahan, kami melakukan pemeriksaan dan menemui minyak masak bersubsidi berkenaan dalam kotak yang ditutup dengan kain di tempat duduk penumpang belakang serta but kereta terbabit.

“Suspek juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan itu,” katanya pada kenyataan hari ini.

Minyak masak bernilai RM1,487.50 dirampas untuk siasatan lanjut.Aswadi berkata, hasil soal-siasat, suspek mengaku diupah individu tertentu untuk membawa minyak masak berkenaan.

Katanya, minyak masak itu diperoleh di beberapa premis sekitar Terengganu dan disorok di dalam hutan sebelum lelaki terbabit diarahkan mengambil barangan berkenaan untuk dibawa ke lokasi pertemuan.

“Menurut suspek, dia juga dalam perjalanan untuk menjemput seorang lagi individu untuk dibawa ke sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk diseludup menerusi Sungai Golok.”Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini