comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] ‘Geng Bacin’ tumpas, bekas polis antara ditahan terbabit kes samun kedai 


MELAKA: Tiga individu, termasuk bekas anggota polis, ditahan selepas disyaki terbabit dalam tiga kes samun tiga premis di Melaka Tengah dengan bersenjatakan objek menyerupai pistol pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, penahanan suspek dibuat susulan tiga laporan kes samun berkawan diterima daripada pemilik kedai runcit, peralatan telekomunikasi dan kedai beg di kawasan Tambak Paya Harmoni, Krubong serta Telok Mas, membabitkan kerugian RM1,150.

 

Menurutnya, kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Bacin’ itu diketuai pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR) berusia 36 tahun, bekas polis serta anak pesara polis masing-masing berusia 33 dan 38 tahun.

Katanya, serbuan dilakukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Tehel serta Jasin, bermula jam 3 petang hingga jam 7.30 malam, Selasa lalu.

“Semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain positif dadah jenis methamphetamine.

“Kami turut merampas antaranya satu objek menyerupai pistol, sebilah parang dan pisau serta dua kereta,” katanya pada kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Zainol, suspek menggunakan taktik mengacukan objek hitam menyerupai pistol sebelum menyamun wang hasil jualan daripada laci kaunter jualan.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 15 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini