comscore
Tumpuan :
Jenayah

Geng curi Hilux tumpas

Dua kenderaan pacuan empat roda yang disyaki dicuri berjaya dirampas daripada geng curi Hilux dalam dua serbuan di Cheras dan Sungai Buloh, Selangor, Selasa lalu. Foto ihsan PDRM Negeri Sembilan.



SEREMBAN: Polis menumpaskan geng curi Hilux dengan penahanan tiga lelaki serta seorang wanita di Lembah Klang, Selasa lalu.

Dua buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Hilux dirampas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata kumpulan berkenaan akan memasang nombor pendaftaran palsu pada setiap kenderaan yang dicuri mereka.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan Op Lejang Khas Hilux yang dilancarkan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban di kawasan Cheras dan Sungai Buloh, Selangor, 21 Mei lalu.

“Kami menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 30 hingga 43 tahun yang disyaki terlibat dalam kes kecurian 4WD roda jenis Toyota Hilux di Negeri Sembilan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Ahmad Dzaffir, modus operandi kumpulan itu adalah mensasarkan 4WD Toyota Hilux yang diletakkan di kawasan taman perumahan dan menggunakan alatan khas untuk menghidupkan kenderaan itu.

“Pasukan serbuan berjaya merampas dua 4WD jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux yang disyaki dicuri,” katanya.

Barang lain yang turut dirampas adalah set peralatan elektronik yang digunakan untuk hidupkan kenderaan, pelbagai huruf serta nombor bagi tujuan pemalsuan nombor pendaftaran dan set peralatan tangan yang diubahsuai.

Ahmad Dzaffir berkata hasil tangkapan berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kenderaan membabitkan dua di Negeri Sembilan, dua di Selangor dan satu di ibu negara membabitkan kerugian kira-kira RM750,000.

Suspek direman selama empat hari sehingga 25 Mei.

Semakan juga mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan 54 kes curi kenderaan, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan saki-baki suspek yang masih bebas,” katanya.

Loading...
Terkini