comscore
Tumpuan :
Jenayah

Geng Pak An, Udin tumpas

KUANTAN: Polis menumpaskan Geng Pak An dan Udin berkaitan kes pecah mesin layan diri dan curi motosikal di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menahan lima lelaki berumur antara 24 dan 44 tahun dipercayai ada kaitan dengan dua geng terbabit.

Katanya, pihaknya menerima 11 laporan kejadian pecah pecah mesin layan diri membabitkan Geng Pak An di sekitar kawasan Indera Mahkota, Air Putih dan Beserah, di sini bulan lalu.

“Suspek memilih mesin layan diri iaitu dobi, minuman dan makanan ringan serta air bertapis sebagai sasaran kerana mesin itu mempunyai wang tunai.

“Suspek memilih waktu antara jam 3 pagi dan 6 pagi untuk melakukan jenayah itu mengakibatkan pemilik mesin layan diri mengalami kerugian antara RM1,000 dan RM1,500 termasuk kos untuk membaikinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil risikan, tiga lelaki tempatan berumur antara 24 dan 31 tahun berasal dari Kuantan ditahan di sebuah hotel bajet dan kawasan Jaya Gading, di sini pada 4 Disember lalu.

Katanya, siasatan lanjut terhadap tiga suspek membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang dicuri di bandar Kuantan pada 29 November lalu.

“Turut dirampas ialah peralatan yang digunakan untuk melakukan pecah mesin layan diri antaranya satu batang kuku kambing, spanar, pemutar skru dan mesin penebuk dinding.

“Tiga suspek direman dari 4 hingga 9 Disember ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes Geng Udin dua lelaki berumur 29 dan 44 tahun ditahan kerana menjadikan masjid di kawasan Jaya Gading sebagai sasaran mencuri motosikal di Jaya Gading, di sini.

Katanya, suspek memilih waktu Subuh ketika jemaah menunaikan solat untuk melakukan kegiatan terbabit.

“Kes pertama membabitkan seorang jemaah berumur 51 tahun pada 11 November lalu dan kes kedua pula, membabitkan jemaah berumur 42 tahun pada 29 November lalu iaitu berlaku di masjid sama.

“Berdasarkan maklumat, Pasukan Task Force Op Lejang berjaya menahan dua lelaki di sebuah pondok di Jaya Gading pada jam 6 petang, 29 November lalu.

“Polis turut merampas tiga motosikal, termasuk sebuah yang dicuri di Temerloh, spanar yang diubahsuai serta sebuah kereta yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu.

“Dua suspek terbabit akan dituduh di mahkamah di sini, esok,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini