comscore
Tumpuan :
Jenayah

Geng Ruben tumpas, 6 lelaki tempatan ditahan

KUALA LUMPUR: Kegiatan Geng Ruben memecah masuk premis perniagaan di sekitar Kepong, di sini, sejak dua bulan lalu terbongkar dengan penahanan enam lelaki tempatan pada 13 Mei lalu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Habibi Manjiji berkata, pihaknya menerima 15 laporan kes pecah premis perniagaan di sekitar Kepong bagi tempoh Januari hingga April lalu.

Katanya, jumlah itu meningkat tiga kali ganda berbanding hanya lima kes yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu menyebabkan pihak polis menubuhkan pasukan khas.

“Hasil maklumat diterima, kami menahan enam lelaki tempatan berusia 28 hingga 38 tahun di beberapa lokasi sekitar pusat bandar ini.

“Dalam tangkapan itu, kami turut menahan ketua kumpulan berkenaan iaitu seorang lelaki dikenali sebagai Ruben berusia 29 tahun.

“Kami juga merampas beberapa barangan hasil kegiatan curi kumpulan terbabit termasuk alat ganti kenderaan, komputer riba serta wang tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Jasni Zolpa.

Habibi berkata, pihaknya turut merampas dua kenderaan iaitu masing-masing sebuah kereta Produa Kancil dan van yang digunakan oleh kumpulan terbabit menjalankan kegiatan itu.

“Modus operandi kumpulan ini adalah melakukan kegiatan pecah masuk ke premis perniagaan seperti restoran, kedai alat ganti kenderaan serta bengkel menggunakan kenderaan curi.

“Kumpulan ini dipercayai aktif melakukan kegiatan itu pada waktu awal pagi iaitu antara jam 1 pagi hingga 5 pagi,” katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan dadah.

Menurutnya, pihaknya masih mengesan seorang lagi suspek dipercayai ahli kumpulan terbabit yang masih bebas.

“Kesemua suspek disambung reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini