comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guna pistol tiruan, enam suspek jenayah samun ditangkap

FOTO: PDRM

JOHOR BAHRU: Enam individu ditahan polis selepas menggunakan modus operandi yang sama dalam melakukan kegiatan jenayah seperti samun, pecah stor, curi kenderaan dan cederakan orang dengan menggunakan objek menyerupai pistol dan parang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, seorang suspek ditahan selepas bergerak secara solo melakukan samun ke atas dua kedai serbaneka 24 jam pada 16 Mac dan 18 Mac lalu.

Manakala, katanya, lima lagi suspek bergerak secara berkumpulan dengan melakukan tiga kes samun berkumpulan, tetak, pecah kedai dan curi kenderaan sejak Februari lalu.

“Dalam kejadian pertama yang dilaporkan berlaku pada 16 Mac lalu, seorang pekerja serbaneka 24 jam di Taman Perling disamun seorang lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol.

FOTO: PDRM

“Suspek melarikan beberapa barangan dan resit tambah nilai ‘TouchNGo’ dengan menaiki sebuah motosikal selepas menunjukkan satu objek yang menyerupai pistol kepada penjaga kaunter premis sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM300.

“Pada 18 Mac pula, satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku membabitkan francais kedai serbaneka 24 jam di Skudai yang dilakukan seorang lelaki juga menggunakan senjata iaitu objek menyerupai sepucuk pistol.

FOTO: PDRM

“Dalam kejadian ini, perniagaan itu mengalami kerugian sebanyak RM400 selepas beberapa barangan dan resit tambah nilai ‘TouchNGo’ dilarikan suspek,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, susulan kejadian itu, pada 20 Mac lalu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun di kawasan perumahan di Tampoi, dipercayai suspek dalam dua kejadian samun berkenaan.

Hasil serbuan, katanya, polis berjaya menemui sepucuk pistol tiruan, sebilah parang dan sebuah motosikal.

“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah methamphetamine.

“Hasil semakan rekod lampau pula mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah, tiga rekod dadah selain satu rekod orang dikehendaki. Suspek kini ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, Fariz Ammar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian samun berkumpulan, tetak, pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan berlaku di kawasan Taman Universiti, Taman Ungku Tun Aminah, Tampoi dan Kempas.

Katanya, pada 24 Februari yang lalu, sekumpulan lelaki dilaporkan memecah masuk sebuah stor syarikat penghantaran barang di kawasan Kempas dan melarikan ‘decoder’ kamera litar tertutup (CCTV) serta sejumlah wang tunai mengakibatkan syarikat berkenaan kerugian RM1,300.

Manakala, pada 25 Februari, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan satu kejadian sekumpulan lelaki bersenjatakan parang mencederakan dua orang di kawasan perumahan Taman Tampoi Indah, Tampoi dan telah melarikan diri menggunakan sebuah kereta dan motosikal.

“Siasatan polis mendapati kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa dirawat selama empat hari di hospital dan mendapat 20 jahitan di bahagian tangan, badan dan bahu kerana ditetak.

“Pada 10 Mac lalu, sebuah lagi kedai runcit disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan objek menyerupai pistol dan parang menyebabkan kerugian bernilai RM10,000 memandangkan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai dan telefon bimbit milik pekerja turut dilarikan penjenayah,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan menahan lima lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 41 hingga 57 tahun di sebuah rumah di Kempas di sini.

“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas dua pistol tiruan, 13 telefon bimbit, sebuah ‘decoder’ CCTV, kad pengenalan dan pasport dipercayai milik mangsa samun, ragut dan pecah rumah.

“Sebuah kereta yang dilaporkan hilang pada 10 Mac lalu turut dirampas.

Loading...
Terkini