comscore
Tumpuan :
Jenayah

Guru rugi RM187,000 diperdaya `pegawai polis Bukit Aman’

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang guru wanita kerugian RM187,000 selepas diperdaya sindiket `phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 36 tahun dihubungi suspek 10 Mei lalu yang memaklumkan wanita itu terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia serta mempunyai waran tangkap.

“Mangsa yang agak panik kemudiannya menuruti arahan suspek dengan memindahkan semua wang simpanan yang dimilikinya kepada satu akaun bank.

“Pada masa sama, mangsa turut memberikan maklumat ID dan kata laluan urusniaga dalam talian kepada suspek terbabit.

“Mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 bagi tujuan siasatan seperti diarahkan oleh suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun dan sebagainya untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan atas nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan melalui Check Scammers CCID atau melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi atas talian,” katanya.

Loading...
Terkini