Tumpuan :
Jenayah

Guru tadika rugi RM30,000, terpedaya kerja sambilan tidak wujud

JOHOR BAHRU: Guru tadika berputih mata apabila wangnya berjumlah RM30,759 lesap selepas ditipu sindiket penipuan kerja sambilan atas talian tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, wanita tempatan berumur 28 tahun itu mendakwa tertarik dengan iklan di media sosial Facebook pada 15 Januari lalu.

Katanya, kerja sambilan itu menawarkan komisen tinggi dengan tugas mudah.

“Mangsa yang berminat menekan pautan tersedia dan disambungkan ke nombor telefon serta diberikan satu pautan platform membeli belah secara atas talian dan telah menekan pautan diberi.

“Kemudian mangsa diberikan nombor akaun bank yang sekiranya mangsa membuat pembayaran, dia akan mendapat pulangan semula dan dijanjikan wang deposit akan dikembalikan, bersama komisen.

“Dalam tempoh dua hari iaitu 15 dan 16 Januari lalu, mangsa melakukan 11 transaksi pembayaran berjumlah RM32,039 ke tiga akaun bank tempatan berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Raub, mangsa memaklumkan hanya menerima komisen sebanyak RM1,280 sahaja.

Katanya, mangsa mendakwa masih diminta untuk membuat bayaran tambahan, sehingga akhirnya menyedari telah ditipu kerana gagal memperolehi keuntungan seperti dijanjikan.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Setia Indah semalam.

“Hasil semakan Mule CCID mendapati satu akaun bank yang digunakan dalam transaksi mempunyai satu rekod penipuan lampau,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini