comscore
Tumpuan :
Jenayah

Hidupan liar, ubat palsu antara rampasan bernilai RM21.9 juta 

FOTO: NSTP/Ihsan Polis

KUALA LUMPUR: Pelbagai hidupan liar, ubat palsu dan minyak diesel bersubsidi yang cuba diselewengkan dirampas dalam operasi khas bermula 1 Januari lalu.

Rampasan dianggarkan bernilai lebih RM21.9 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata sepanjang operasi itu, pihaknya turut menahan 15 individu bagi membantu siasatan.

Katanya, sepanjang tempoh itu, sembilan operasi dan serbuan dilancarkan pihaknya menerusi Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Antara rampasan hidupan liar dan diesel bersubsidi yang berjaya dilakukan dalam serbuan di Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan. – FOTO: NSTP/Ihsan Polis

Antara lokasi serbuan adalah di Klang, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan; Wang Kelian, Perlis dan Sepang, Selangor.

“Pasukan itu melancarkan sembilan serbuan dan operasi dalam tempoh 1 hingga 5 Januari 2024 dengan nilai rampasan RM21,917,449 serta tangkapan seramai 15 orang.

“Operasi membabitkan penguatkuasaan terhadap penyeludupan hidupan liar serta jenayah lain khususnya ubat-ubatan palsu dan penyelewengan minyak diesel bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazani berkata antara kesalahan yang diambil tindakan dalam operasi ini adalah kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan nilai rampasan RM116,000.

Selain itu, katanya, kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM6.6 juta); Seksyen 11 Akta Makanan 1983 (RM13.2 juta); Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) (RM1.5 juta) dan Peraturan 7(1)a Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM500,000).

Loading...
Terkini