comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Hilang kad pengenalan kali ketiga, pelajar IPT sanggup buat laporan palsu

KOTA BHARU: Gara-gara mahu mengelak dikenakan denda tinggi oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan buat kali ketiga, seorang pelajar universiti awam sanggup membuat laporan palsu kononnya disamun berkumpulan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata penuntut lelaki berusia 20-an membuat laporan jam 5.58 petang semalam.

Beliau berkata, pelajar universiti awam di Kota Bharu dan berasal dari Pasir Tumboh dalam laporan polisnya mendakwa dirinya disamun berkumpulan di Jalan Tengku Mohd Maasum, di sini, jam 3.30 petang semalam.

FOTO: NSTP

“Lelaki itu memberitahu, ketika sedang menunggang motosikal di satu lorong di lokasi kejadian, tiba-tiba dia didatangi dan ditahan dua motosikal yang dinaiki empat lelaki.

“Seorang dari suspek bertindak mengacukan senjata jenis pisau dan memintanya menyerahkan beg silang yang sedang digalasnya.

“Hasil siasatan mendapati dia gagal memberikan keterangan yang konsisten berkenaan kejadian. Pihak polis kemudian menjalankan soal siasat lanjut sebelum mendapati lelaki itu memberikan keterangan palsu dan kejadian yang dilaporkan adalah tidak wujud,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penuntut berkenaan mengaku membuat keterangan dan laporan palsu untuk mengelak  dikenakan denda yang tinggi oleh pihak JPN dengan alasan kad pengenalan miliknya hilang sebelum ini sebanyak tiga kali.

Menurut beliau, lelaki itu direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu serta memberikan maklumat palsu.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Loading...
Terkini