comscore
Tumpuan :
Jenayah

Homestay edar dadah tumpas

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Taktik seorang penganggur menggunakan inap desa sebagai lokasi transit pengedaran dadah hanya bertahan selama tiga hari, apabila diserbu polis di Taman Aman, di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM250,000 dan menahan suspek lelaki tempatan berusia 46 tahun dalam serbuan itu.

Katanya dalam serbuan dilakukan kira-kira jam 4.30 petang itu, polis menemukan 100 ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja, seberat 100 kilogram.

Selain itu, beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi ganja dan bahan kristal disyaki syabu seberat 8 gram dan 1.12 gram turut ditemui dalam rumah itu.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM250,000. Jika terlepas ke pasaran, dadah-dadah ini dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 20,000 penagih.

“Siasatan awal mendapati dadah tersebut diperolehi dari negara jiran untuk pasaran utara tanah air.

“Lelaki tersebut yang turut memiliki rekod jenayah sebelum ini dipercayai menjadikan homestay berkenaan sebagai lokasi transit pengedaran dadah.

“Siasatan menunjukkan terdapat rangkaian melibatkan suspek untuk mengedar dadah berkenaan. Setakat ini siasatan masih berjalan untuk memburu pihak lain yang mungkin terlibat,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini.

Semua ketulan ganja tersebut dimampatkan dalam balutan aluminium (Aluminium foil) keemasan dan dibalut plastik lutsinar yang setiap satunya seberat 100 gram.

Selain rampasan dadah, polis turut menyita sebuah motosikal Benelli TNT 135I milik suspek bagi tujuan siasatan lanjut.

Suspek dipercayai menyewa homestay berkenaan untuk tempoh lebih tiga hari sebelum disedari pihak berkuasa.

“Justeru pihak polis menasihatkan supaya pemilik homestay dapat mengambil maklumat terperinci mengenai penyewa mereka terutamanya golongan yang menyewa untuk tempoh lama.

“Ini bukan kali pertama homestay dijadikan lokasi transit dadah sebaliknya telah ada beberapa kes sama dibanteras sebelum ini.

“Jika ada pergerakan atau kegiatan mencurigakan di homestay mereka, pemiliknya boleh segera membuat laporan polis untuk kami segera ambil tindakan,” katanya.

Suspek ditahan reman sehingga 2 Julai depan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B, 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini