comscore
Tumpuan :
Jenayah

Honda City tersadai bongkar penemuan ganja

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim menunjukkan tempat ganja itu dijumpai dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah kebun mangga Harumanis di Bukit Chabang, Padang Besar.-Foto: NSTP

KANGAR: Kehadiran sebuah kereta Honda City berwarna biru yang tersadai selepas memasuki sebuah parit di kebun mangga Harumanis Bukit Chabang, Padang Besar di sini pada Khamis lalu akhirnya terjawab.

Sebaik dihubungi, anggota polis yang melakukan pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menjumpai 56 bungkusan disyaki ketulan mampat dadah jenis ganja yang diletakkan dalam tiga guni besar di tempat duduk penumpang belakang kereta itu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kejadian mempunyai kaitan dengan pengesanan dua lelaki mencurigakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran Kampung Kolam di Padang Besar.

Datuk Muhammad Abdul Halim (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah kebun mangga Harumanis di Bukit Chabang, Padang Besar.- Foto: NSTP

Katanya, daripada pemantauan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara itu mendapati terdapat individu tertentu sedang membawa masuk beberapa bungkusan ke dalam kereta dipercayai baharu sahaja dibaling dari arah negara jiran.

“Sepasukan anggota PGA yang membuat risikan di lokasi berkenaan kemudian mendapati kereta itu sudah pun bergerak keluar dari kawasan itu dengan agak laju menyebabkan anggota kita gagal mengesan pergerakan kereta berkenaan.”

Katanya, usaha mengesan suspek kembali dipergiatkan selepas polis menerima maklumat orang ramai berhubung keberadaan misteri sebuah kereta jenis Honda City di kawasan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada hari ini.

Katanya, ketika dijumpai, kereta itu sudah pun ditinggalkan oleh suspek.

Siasatan mendapati berat setiap satu bungkusan itu ialah 1 kilogram dan bernilai keseluruhan RM173,600.

“Kita percaya penemuan ganja ini mempunyai kaitan dengan kejadian pada awal pagi sebelum itu dan ganja ini pula dipercayai diperolehi dari negara jiran untuk dipasarkan di negara ini.”

Muhammad berkata suspek terpaksa melarikan diri kerana kereta itu mengalami kerosakan pada enjin.

Bumper kereta itu turut didapati tertanggal dipercayai selepas terbabas ke dalam parit di kebun buah-buahan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini