comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Ibu maut dipukul anak guna ‘safety boot’ dan tukul besi

 

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PETALING JAYA: Angkara perselisihan faham, seorang wanita berusia 56 tahun maut dipukul anak kandungnya dalam kejadian di Klang, Selangor pada jam 9.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek telah bertindak memukul ibunya menggunakan sepasang kasut ‘safety boot’ dan juga tukul besi sebelum melarikan diri.

Difahamkan, tindakan si ibu yang membuang barang suspek menjadi punca serangan itu tercetus.

Suspek bagaimanapun berjaya diberkas di tempat kerjanya pada hari yang sama.

“Bertindak di atas maklumat, tangkapan dibuat ke atas suspek pada 28 Febuari 2024 jam 11.30 pagi di Taman Sentosa Klang.

“Suspek merupakan seorang lelaki berumur 33 tahun yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod jenayah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis meth,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Menurutnya lagi, mangsa difahamkan tinggal bersama suspek dan suaminya berusia 62 tahun.

Mengulas lanjut, suspek akan direman esok di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 9 pagi.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun serta hukuman tidak kurang daripada 12 sebatan.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini