comscore
Tumpuan :
Jenayah

Identiti dan punca kematian wanita berbaju kelawar masih disiasat

SUNGAI PETANI: Penemuan mayat seorang wanita berbaju kelawar dalam longkang di Taman Perpaduan, Bakar Arang, di sini Sabtu lalu masih menjadi misteri sama ada mangsa dibunuh atau sebaliknya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mangsa.

“Kita agak sukar mengesan identiti berikutan mayat sudah berbau dan membengkak kerana mangsa meninggal dunia lebih 24 jam ketika ditemukan.

“Setakat ini, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan kita sedang menunggu laporan kimia serta patalogi daripada unit forensik,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan cedera seperti tikaman atau luka di tubuh mangsa namun pihaknya tetap meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut.

“Kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk mangsa dibunuh ditempat lain sebelum mayatnya dibuang di situ.

“Selain itu, kita turut merakam keterangan daripada beberapa saksi di lokasi penemuan mayat itu dan setakat ini belum ada laporan kes kehilangan orang diterima,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, mayat terbabit ditemukan orang awam dalam longkang pada 5.47 petang selepas dia menghidu bau busuk di kawasan rumahnya.

Susulan daripada itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati mayat wanita dipercayai warga tempatan ditemukan berbaju kelawar tanpa pakaian dalam.

Loading...
Terkini