KUALA LUMPUR: Satu mayat lelaki ditemui dalam sebuah bagasi di kawasan perumahan Cheras Perdana, Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, dekat sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata identiti mayat lelaki itu bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
“Mayat berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan mencurigakan dan berbau busuk sekitar jam 11.45 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah ke lokasi kejadian bersama Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) sebelum mengesahkan bahawa satu beg bagasi berwarna biru yang dijumpai dilokasi, mengandungi mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Naazron berkata mayat itu dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijangka dilakukan jam 9 pagi esok.
“Pada masa ini kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintendan Umesh Ratna Kumar di talian 012-6114900.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.