KUALA LUMPUR: Polis masih giat memburu tiga individu yang disyaki terbabit dalam insiden dua kenderaan merempuh sekumpulan individu di hadapan sebuah pusat hiburan, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihak polis sedang mengesan ketiga-tiga suspek.
“Sehingga kini belum ada tangkapan baru dibuat atas kes tersebut. Usaha mengesan mereka sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob dalam satu kenyataan Khamis lalu, dilaporkan berkata polis berjaya menahan lima individu yang dipercayai terbabit dalam insiden itu.
Katanya, semakan mendapati semua mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham di antara kumpulan suspek dengan mangsa ketika berhibur.
Dalam pada itu, katanya identiti tiga individu yang diburu juga sudah dikenal pasti terdiri daripada M Devindran berusia 25 dengan alamat terakhir di Taman Seri Bayu Morib, Banting, Selangor dan M Ranjith, berusia 19 tahun dengan alamat terakhir di Lot 307, Jalan Raba, Banting.
Suspek ketiga pula dikenal pasti sebagai M Lavindran berusia 27 tahun dengan alamat terakhir di Jalan Raja Nala 12, Taman Intan, Kapar, Selangor.
Media sebelum ini melaporkan dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan jenis Toyota Vios dan pacuan empat roda, Hilux dalam kejadian itu.
Ku Mashariman dilapor berkata kes terbabit siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun.
Katanya, dua kenderaan terbabit dilihat keluar dari sebuah bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan Kelab Top Plus, Jalan Klang Lama di sini.
Kenderaan terbabit melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang mengalami kecederaan dengan seorang mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans.
Berikutan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.