Tumpuan :
Jenayah

Imigresen Melaka serbu gudang makanan, tahan 22 PATI

Foto JIM

MELAKA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 22 lelaki warga asing dalam serbuan di sebuah gudang makanan di Pulau Gadong, Klebang Besar di sini semalam, kata Pengarah JIM Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan menerusi Ops Mahir itu berusia antara 20 hingga 35 tahun membabitkan masing-masing 10 warga Pakistan dan Nepal serta dua lelaki rakyat India.

“Pengurusan gudang itu disyaki menggajikan pendatang tanpa izin dengan siasatan awal mendapati khidmat ejen pekerja asing digunakan untuk membekalkan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pekerja asing itu disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas manakala notis hadir ke pejabat Imigresen dikeluarkan kepada pengurus dan kerani gudang itu bagi membantu siasatan.

Dalam operasi berasingan, beliau berkata sebanyak 11 lelaki warga asing ditahan dalam serbuan di premis makanan dan pasar borong di sekitar Melaka Tengah kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan melanggar syarat pas yang dikeluarkan.

“JIM mengesan ramai warga asing yang menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dengan tidak pulang ke negara asal dan bekerja secara tidak sah serta terlibat dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya sambil menambah jabatan itu akan bertindak tegas terhadap majikan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini