JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang terlibat dalam kejadian penculikan seorang ahli perniagaan dan meminta tebusan sebanyak RM20 juta pada 13 Oktober lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, wanita warga tempatan berusia 57 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Johor.
“Wanita yang baru ditahan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun keseksaan.
“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 40 tahun dan sebatan” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun tidak dinyatakan dimana dan bila wanita itu ditahan.
Sebelum ini, polis berjaya menahan tiga individu lain termasuk seorang lelaki warga tempatan dan warga asing berumur 29 hingga 49 bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 4 Oktober lalu.
Ketiga-tiga individu terbabit telah dituduh di mahkamah yang sama dan diberikan jaminan oleh mahkamah. Kes berkenaan akan disebut semula pada 17 November ini.
Polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat jenayah di balai polis berhampiran atau menggunakan talian Hotline polis Johor ditalian 019-2792095 atau bilik gerakan polis Johor 07-2212999.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.