SUNGAI GOLOK: Pesalah yang memiliki dadah lebih daripada sebiji di Thailand, akan ditahan sebagai pengedar atau peniaga sekali gus dikenakan reman dalam tempoh tiga bulan atau 84 hari.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jedsadavit Ingprapan berkata, justeru itu, kesemua enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita yang disyaki memiliki 6,000 biji pil kuda itu perlu melalui proses sama.
Katanya, tempoh reman yang panjang membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan serta meneliti maklumat dan dalam masa sama, memberi peluang kepada semua suspek mengumpul bukti, jika mereka benar tidak bersalah.
“Peniaga atau pengedar dadah boleh dikenakan hukuman penjara melebihi tiga tahun atau sepanjang hidup bergantung kepada jumlah dadah yang dirampas.
“Mereka yang ditahan memiliki lebih daripada sebiji dadah diklasifikasikan sebagai pengedar walaupun memberi alasan ia untuk kegunaan sendiri.
“Pihak kami tidak akan berkompromi membabitkan isu global iaitu berkaitan dadah ini. Untuk kes membabitkan enam rakyat Malaysia, mereka boleh dikenakan hukuman melebihi 10 tahun penjara, jika didapati bersalah.
“Semakin banyak jumlah dadah yang dirampas, semakin berat hukuman yang diterima termasuk membabitkan tempoh pesalah dipenjarakan,” katanya ketika ditemui di Pekan Golok,di sini, semalam.
Beliau berkata, kesemua enam tahanan itu memberi kerjasama yang baik setiap kali siasatan dijalankan di samping memahami setiap perbincangan kerana akan ada penterjermah untuk membantu dari segi komunikasi.
“Kebanyakan rakyat Malaysia yang ditahan di negara ini adalah kerana positif dadah bukan memiliki dadah mungkin kerana mereka takut memandangkan undang-undang membabitkan pengedaran bahan terlarang itu di Thailand agak ketat.
“Susulan kes ini juga, pihak polis terus mempergiatkan lagi operasi di pusat hiburan bagi mengekang masalah penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan pengunjung di Golok,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.