comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ingkar PKPB: 175 ditahan di pusat hiburan

175 orang dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati ingkar PKPB ketika berhibur di tiga pusat hiburan di Damansara, Sungai Way dan Sea Park di sini, baru-baru ini. – Foto ihsan PDRM

PETALING JAYA: Seramai 175 individu ditahan selepas didapati berada di pusat hiburan yang dilarang beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan di tiga premis di Damansara, Sungai Way dan Sea Park, di sini, baru-baru ini.

“Seramai 101 orang ditahan di Damansara, 43 orang di Sungai Way dan 31 orang lagi ditahan di Sea Park.

“Kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar PKPB mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan mendapati hanya 10 peratus yang dikompaun penduduk Petaling Jaya, manakala selebihnya datang dari Kuala Lumpur dan daerah lain sekitar Lembah Klang.

Katanya, kesemua premis terbabit juga dikenakan tindakan melanggar PKPB termasuk tindakan mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana menjual arak tanpa lesen.

Loading...
Terkini