comscore
Tumpuan :
Jenayah

Isu rakam serbuan: PDRM digesa keluar kenyataan operasi serbuan, sebab tangkapan

Foto: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu segera mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan serbuan dan sebab tangkapan dibuat termasuk terhadap perakam bagi mengelak berita negatif membabitkan pasukan keselamatan itu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, setakat ini tiada peruntukan undang-undang yang melarang orang awam daripada merakam serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Tan Sri Musa mengulas kenyataan wakil rakyat DAP yang menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, menjelaskan rasional operasi pihak berkuasa termasuk polis dijalankan secara terang-terangan tetapi tidak boleh dirakam orang awam.

Menurut Tan Sri Musa, satu daripada cara untuk menjawab gesaan itu adalah pihak berkuasa perlu segera mengeluarkan kenyataan operasi yang dijalankan dan memberi sebab mengapa rakaman tidak dibenarkan ketika itu bagi mengelak sebarang tohmahan.

“Tiada undang-undang yang membolehkan pihak polis melarang orang awam untuk mengambil video ketika mereka menjalankan operasi. Orang awam bebas untuk mengambil video semasa pihak polis bertindak atau semasa menjalankan tugas.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Bagaimanapun, jelas beliau, menjadi satu kesalahan dan wajar diambil tindakan sekiranya perbuatan merakam bertujuan menganggu tugas pihak berkuasa.

Tambahnya, bagi mengelak tohmahan mahupun tuduhan tidak berasas dari pelbagai pihak.
 
Pihak berkuasa sendiri dicadang membuat rakaman sendiri terutama ketika melakukan operasi dan serbuan termasuk memakai kamera badan.

“Penting bahawa pihak polis dibekalkan dengan kamera badan agar apabila mereka menjalankan tugas serbuan mereka boleh mengambil tindakan untuk merakam tindakan yang mereka lakukan. Ini juga boleh memberikan perlindungan kepada mereka agar mereka tidak ditomah.” katanya.

Justeru, ujarnya kerajaan tidak boleh menangguhkan lagi penggunaan kamera badan bagi pasukan keselamatan kerana langkah itu dapat menyelesaikan banyak isu berbangkit ketika operasi dijalankan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membangkitkan isu itu selepas polis didakwa menahan tiga pengunjung dalam serbuan di sebuah kafe dan pusat hiburan di Georgetown kerana merakam pihak berkuasa menjalankan tugas dan ia tular di media sosial.

Loading...
Terkini