comscore
Tumpuan :
Jenayah

Janin Ditemui Dalam Tandas Masjid

Foto hiasan.

KEMAMAN: Janin cukup sifat bersama uri ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas wanita di Masjid Kampung Labohan, Kerteh, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan janin dianggarkan berusia antara empat hingga lima bulan itu daripada ahli jawatankuasa masjid, kira-kira jam 3 petang.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku antara 12 tengah malam tadi hingga 12 tengah hari ini.

“Pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) masjid tidak menemui apa-apa petunjuk atau imej pelaku. Kita akan siasat dan buat pemantauan di klinik berhampiran untuk mengesan ibu yang mungkin keguguran.

“Kita juga minta ibu yang mungkin tak sedar perkara ini berlaku supaya datang memberi keterangan di balai polis berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Hanyan, janin dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil segera membuat laporan di balai polis berhampiran.

Saksi kejadian, Kariza Budin, 49, berkata dia menemukan janin itu di lantai tandas wanita, kira-kira 12 tengah hari ketika ingin melakukan kerja pembersihan.

“Ketika saya masuk ke dalam tandas, tengok keadaan kotor dan berselerak dengan tong sampah terlingkup. Selepas diamati, saya nampak ada kantung dan dalamnya ada macam kepala.

“Memang terkejut, tetapi saya beranikan diri alihkan dahulu janin di satu sudut sebelum maklumkan pada ahli jawatankuasa masjid untuk lapor pada pihak yang berkenaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini