comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jenazah wanita dipukul anak, menantu dibawa pulang ke Terengganu

Kenderaan polis dilihat tiba ke rumah mangsa di Taman Tambun Tulang, disini, pagi tadi.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Jenazah wanita mualaf yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul anak dan menantu dijangka akan dituntut seorang lagi anaknya hari ini.

Mengesahkan perkara itu pada Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Terengganu untuk dikebumikan.

“Buat masa ini waris belum tuntut lagi tetapi adik suspek akan datang dari Johor hari ini untuk ambil jenazah. Maklumat awal berdasarkan percakapan di telefon, jenazah akan dikebumikan di Terengganu,” ujarnya.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi

Menurut Superintendan Ahmad Mohsin lagi, ketiga-tiga anak suspek usia 2, 5 dan 8 tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara pasangan terbabit dalam tempoh tahanan reman selama seminggu bermula hari ini.

Pada 4.30 pagi semalam, seorang wanita mualaf berusia 74 tahun disahkan meninggal di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar selepas dihantar suspek untuk menerima rawatan di Unit Kecemasan kerana tidak sedarkan diri.

Polis kemudiannya bertindak menahan anak perempuan dan menantu mangsa kedua-duanya berusia 34 tahun bagi membantu siasatan susulan penemuan kesan lebam pada muka dan luka pada jari kaki kiri mangsa.

Hasil proses bedah siasat yang dilakukan semalam turut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa selain patah tiga tulang rusuk kiri.

Punca kematian masih belum disahkan dan diklasifikasikan sebagai ‘pending laboratory analysis’ sementara menunggu keputusan makmal.

Loading...
Terkini