comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jeritan wanita selamatkan anak saudara daripada diculik

Warga Nepal menyamar tukang cuci cuba culik kanak-kanak diberkas penduduk kampung. – Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas dan jeritan seorang wanita berjaya menyelamatkan anak saudaranya daripada diculik seorang lelaki warga asing yang menyamar sebagai tukang cuci di Kampung Bunga Raya, Rawang semalam.

S Kalaiarasi, 30, berkata dia terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali itu masuk ke rumah dan terus memeluk anak saudara sebelum cuba membawanya lari.

Kejadian berlaku jam 12.40 tengah hari semasa dia bersama anak perempuannya berusia setahun dan anak saudaranya sedang bermain di ruang tamu rumah.

“Tiba-tiba seorang lelaki terus masuk ke dalam rumah dan memeluk anak saudara sebelum cuba melarikan diri.

“Saya kemudian menjerit dan berjaya merampas kembali anak saudara sebelum lelaki itu terus melarikan diri,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata jeritannya itu didengari jiran sebelum penduduk kampung yang menyedari kejadian itu mengejar lelaki itu dan menahannya.

Difahamkan sebelum kejadian itu, suspek dikatakan terlebih dahulu ke rumah jiran mangsa yang berdekatan dan mengaku sebagai tukang cuci dan ingin mengemas rumah sekitar jam 12.30 tengah hari.

BH sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Nepal dipercayai menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun namun cubaannya gagal apabila tindakannya disedari penduduk.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata polis menerima laporan seorang wanita berusia 47 tahun, semalam.

Pengadu memaklumkan semasa kejadian dia terdengar seorang jirannya menjerit meminta tolong memberitahu ada lelaki cuba menculik anaknya.

Pengadu telah pergi ke rumah jirannya dan telah nampak seorang lelaki telah melarikan diri sebelum dia bersama penduduk mengejar lelaki terbabit.

Suspek dapat ditangkap berdekatan dengan kawasan pembuangan sampah, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Hafiz berkata pihak polis membuka satu kertas siasatan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini