SHAH ALAM: Anggaran RM 1.2 bilion ringgit kerugian bakal ditampung negara akibat kes penipuan dalam talian atau ‘scammer’ jika orang awam masih lagi alpa dengan jenayah itu masih berterusan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah unjuran daripada Mesyuarat Jemaah Menteri itu diperoleh semasa pembentangan kertas Majlis Sosial Negara.
“Kita buat unjuran, makna kalau ikut trend kes yang dilaporkan sehingga kepada unjuran, unjuran itu mencecah kepada RM1.2 bilion.
“Ini dibincangkan tadi dalam mesyuarat jemaah menteri melalui kertas Majlis Sosial Negara yang satu daripada komponennya mengenai insiden jenayah ‘scammer’.
“Kerugian akibat jenayah jenis baharu ini akan melepasi jumlah kerugian jenayah konvensional sebelum ini seperti kehilangan kereta, motosikal dan harta benda jika tren ini berterusan tanpa ikhtiar menyekatnya,” katanya.
Artikel berkaitan: ‘Scammer’ tukar helah kepada emel saman, kompaun untuk jerat mangsa – Polis
Terdahulu, beliau bercakap semasa hadir Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di Bawah Program Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam & Swasta Selangor di IDCC, Seksyen 15.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussein; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan bin Mydin Pitchay; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan.
Mengulas lanjut, unjuran kerugian itu memberi mesej bahawa jenayah bentuk baharu ini semakin menggila, besar dan memangsakan ramai orang sekiranya tidak berhati-hati.
“Mereka (scammer) ini ‘advance’ dari segi teknologi hingga pemanggil itu seperti ‘genuine’.
Bila kita bagi sahaja nombor akaun, nombor kad pengenalan, di situ lah akan bermula..orang yang terpelajar juga jadi mangsa,” katanya.
Justeru itu katanya, kesedaran awam sangat penting dan pihak polis sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha membanteras jenayah penipuan ini.
“Scammer ini mempunyai kreativiti tinggi, skrip mereka gunakan meyakinkan.
Ini bermaksud, ia adalah jenayah yang serius dan kerana itu usaha polis perlu dalam mewujudkan kesedaran awam agar tidak menjadi mangsa,” katanya.