comscore
Tumpuan :
Jenayah

JPJ Selangor lelong 192 kenderaan sita tahun ini

Khairul Khar Yahya ditemui dalam sidang media pada program Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Dewan Melati, Seksyen 7, hari ini.

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya mengutip RM898,438 hasil lelongan 192 kenderaan yang disita sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kutipan itu dibuat dalam tiga siri Lelongan Awam Kenderaan Sita yang turut melibatkan kenderaan klon.

“Pada 31 Mac lalu, 41 kenderaan sita dilelong dan berjaya mengutip RM114,460, manakala sebanyak 19 kenderaan sita dilelong pada 19 Julai lalu sekali gus mengutip sejumlah RM256,100.

“Sementara dalam siri ketiga semalam, sebanyak 135 kenderaan sita terdiri 97 motosikal, 17 kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), jip, bas, van, lori kargo am dan semi treler. Daripada jumlah itu, sebanyak 132 berjaya dilelong dengan kutipan sebanyak RM527,878,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Dewan Melati, Seksyen 7, di sini.

Khairil Khar berkata, sebanyak 135 kenderaan sita yang dilelong semalam terdiri daripada kenderaan berdaftar dan kenderaan tidak berdaftar.

“Sebanyak 115 kenderaan sita berdaftar dalam lelongan awam itu, di mana 104 daripada boleh dilesenkan, manakala 11 buah tidak boleh dilesenkan (scrap).

“Bagi kenderaan tidak berdaftar (klon), sebanyak 20 buah berjaya dilelong,” katanya sambil memaklumkan harga lelongan tertinggi adalah RM58,000 dan jumlah terendah RM93,” katanya.

Katanya, ini menjadikan jumlah kutipan lelongan awam keseluruhan sejak 2019 sehingga semalam sebanyak RM5.4 juta.

Loading...
Terkini