comscore
Tumpuan :
Jenayah

Jual burung dalam TikTok

Sangkar berisi burung yang dirampas Perhilitan di Port Dickson. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Raih pendapatan haram sejak sekian lama hasil penjualan pelbagai hidupan liar dan burung yang diiklankan melalui media sosial termasuk TikTok.

Itu tindakan seorang lelaki berusia 30-an yang diberkas sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang melakukan risikan sebelum menyerbu rumahnya di Alor Pongsu, Bagan Serai, Perak kelmarin.

Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi dilakukan jam 12.40 tengah hari oleh sepasukan tujuh pegawai Perhilitan susulan risikan terhadap aktiviti penjualan haram hidupan liar melalui atas talian.

Menurutnya, suspek dikesan aktif menggunakan laman sosial Facebook dan TikTok untuk menjual pelbagai spesies burung dilindungi.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di rumah suspek menemui 79 burung kelicap kunyit, burung murai buluh (tujuh ekor) dan burung kelicap mayang kelapa (seekor).

“Turut dirampas 14 sangkar digunakan suspek untuk menyimpan semua burung liar itu di rumahnya,” katanya.

Burung yang dirampas dalam serbuan di Bagan Serai, Perak. – Foto: NSTP

Kadir berkata, semua burung dilindungi itu dirampas dan suspek dibawa ke balai Polis Bagan Serai, Perak untuk tindakan lanjut.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan RM30,000 sementara menunggu pendakwaan mahkamah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Semua burung disita itu dibawa ke pejabat Perhilitan Daerah Kuala Gula, Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan, Perhilitan menyerbu sebuah kediaman di Bandar Spring Hill, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam serbuan jam 7 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan sebelum Perhilitan menemui lima burung bayan nuri, 13 burung bayan puling dan lima burung serindit.

Semua burung itu disimpan tanpa lesen dan permit yang sah dan diletakkan di bawah garaj berhadapan rumah terbabit.

“Susulan itu semua burung berkenaan dirampas untuk tujuan siasatan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini